• Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah mengarahkan siasatan segera dijalankan berhubung tindakan lima saudara mara penumpang MH370 warga China yang cuba menceroboh pusat media di Hotel Sama-Sama, semalam.

"Kami kesal kejadian yang berlaku di sidang akhbar itu membabitkan beberapa saudara mara penumpang MH370. Kita hanya boleh membayangkan kesedihan yang terpaksa mereka alami," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, sejurus sebelum sidang akhbar yang dijadual bermula pada 5.30 petang, lima saudara mara penumpang pesawat berkenaan membuat kecoh apabila dua kali mereka cuba menceroboh pusat media.

Kali pertama mereka cuba memasuki pusat media ialah pada 4.45 petang dan menimbulkan kekecohan dengan tangisan serta jeritan selain turut membawa sepanduk bertulisan Mandarin. Taklimat media belum bermula ketika itu.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin turut menegaskan, Malaysia sudah melakukan apa yang terdaya untuk mencari pesawat yang hilang itu.