- Mar 18, 2014
- HELMI IBRAHIM
Kapal Pemusnah USS Kelas Arleigh Burke
AKHIRNYA apa yang di khuatiri kebanyakan rakyat
Malaysia yang prihatin tehadap nasib MH370 dan maruah negara tercinta
kini hampir terjadi. Ramai di antara kita ragu-ragu dengan penjelasan
rasmi berhubung tragedi yang menimpa pesawat malang apatah lagi
kenyataan-kenyataan yang diberikan bersimpang siur dan menambah
kerumitan yang sedia ada.Kekeliruan ini ditambah pula dengan komentar di alam maya dan juga media cetak dan elektronik.
Sudah beberapa kali pihak berkuasa di lihat membuat pusingan ‘U’ dalam isu yang paling hangat dan bermula dari identiti pemegang passport curi; kredibiliti pegawai Imigresen yang di ragui Menterinya sendiri; status 4 atau 5 penumpang yang di katakan check-in bagasi tetapi tidak muncul; status MH370 yang di laporkan pihak tentera sebagai membuat ‘air turn back’ (ATB) kemudiannya di nafikan dan akhirnya di akui kembali; dan pelbagai lagi perkara yang ‘berserabut’ yang di tonton secara jelas oleh ratusan juta penonton dunia secara langsung dan diulas secara pedas dan meluas terutamanya oleh CNN dan agensi media antarabangsa.
Ini ditokok tambah oleh media maya yang hanya di hujung jari kebanyakan rakyat kita pada sebilang masa.
Kegagalan Perdana Menteri untuk muncul selaku ketua operasi amatlah mengecewakan rakyat Malaysia sebenarnya dan bertambah perit lagi apabila kemunculan beliau buat pertama kalinya Sabtu lalu menimbulkan lebih banyak persoalan. Ini menggambarkan kemampuan sebenar beliau mengemudi negara pada saat krisis yang silap gayanya boleh menjatuhkan kredibiliti dan maruah negara di mata dunia.
Keengganan beliau untuk menjawab soalan pada sidang media itu juga mengecewakan rakyat dan semakin menyerlahkan sikap tidak berani beliau untuk menghadapi realiti sebenar. Semakin parah apabila sidang media pada petang Sabtu untuk menjawab soalan bertulis para wartawan juga di tangguhkan keesokkan harinya, dengan alasan pihak berkuasa belum bersedia dan memerlukan masa untuk meneliti semua soalan dengan teliti.
Sebagaimana yang di lontarkan oleh seorang penganalisis penerbangan, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dalam rancangan secara lansung di TV Al-Hijrah, kerajaan sepatutnya menubuhkan pasukan bertindak yang mempunyai peranan yang pelbagai seperti pasukan mencari dan menyelamat, pasukan yang mengkaji kemungkinan rampasan dan pasukan yang menghubungi 'Air Tower Controller' (ATC) atau pun radar negara jiran di laluan yang kemungkinannya di lalui oleh MH370 seandainya ia tidak terhempas atau dilarikan.
Seandainya perkara sebegini di buat sedari awal sudah tentulah operasi mencari dan menyelamat akan lebih licin. Contoh yang mudah adalah tindakan polis yang dikatakan menyiasat rumah juruterbang MH 370 sebaik sahaja Najib menyampaikan ucapannya. Mungkin pada pemikiran rakyat Malaysia yang terpaku hanya pada media rasmi, tindakan itu dianggap patut kerana dibuat selepas mendapat arahan Perdana Menteri!
Bagaimanapun langkah yang dibuat setelah lapan hari pesawat MH370 itu hilang dianggap terlewat, dipersoalkan banyak pihak dan dikritik media antarabangsa. Kelewatan ini pastinya mengecewakan keluarga mangsa dan menjejaskan imej negara di mata dunia.
ASPEK KESELAMATAN NEGARA
Kita selaku rakyat yang cintakan negara juga merasa bimbang dengan status keselamatan negara sebenarnya. Kita tidak meragui langsung kekentalan semangat dan komitmen pasukan keselamatan di medan hadapan yang patuh pada setiap arahan yang di berikan, namun kita meragui kemampuan merancang dan membuat keputusan yang tepat oleh para pemimpin tertinggi negara.
Lihat sahaja bagaimana pandangan panglima TUDM yang seawal hari kejadian iaitu pada 8hb Mac mengatakan kemungkinan pesawat tersebut membuat ATB namun ianya gagal dijadikan petunjuk utama dalam pencarian. Ini membuatkan semua pihak bergerak ke hulu dan ke hilir tetapi akhirnya data tersebut menjadi rujukan utama selepas beberapa hari yang kritikal berlangsung.
Kerajaan juga seharusnya memahami kebimbangan rakyat akan kedatangan beberapa aset luar yang terpaksa kita terima atas nama misi ‘Search and Rescue’ (SAR) seperti kapal pemusnah USS Pinckey dari kelas Arleigh Burke yang berpangkalan di San Diego bukanlah calang-calang kapal.
Ianya mempunyai sistem yang mampu mengesan dan mengimbas (scan) peranti, radar dan peralatan pengawasan di tempat yang dilaluinya. Begitu juga dengan pesawat pengesan seperti PC-3 Orion dan P-8 Poseidon yang mampu pula membuat imbasan secara menyeluruh dari atas.
Sudah tentulah kita tidak mampu untuk berkata tidak dalam keadaan sekarang apabila mereka menawarkan bantuan untuk membuat pencarian bersama. Sesiapa sahaja dalam keadaan zaman ‘peperangan elektronik’ sekarang boleh di anggap ‘tertinggal’ jika menolak peluang terbuka sedemikian pada zon yang berserabut dengan isu-isu panas yang menunggu seperti Spratly dan perebutan kuasa Amerika-China.
Tetapi semua ini boleh dikurangkan seandainya pihak kerajaan pimpinan Najib bertindak awal berpandukan data radar tentera dan tidak membiarkan pencarian secara ‘pukal’ dari timur ke barat yang membuatkan sistem keselamatan negara seolah-olah 'longgar' kerana diimbas oleh semua pihak yang mahu berbuat demikian.
Oleh itu gesaan oleh Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar agar isu ini dibawa dan dibahaskan di Dewan Rakyat patut disegerakan demi keselamatan negara. Satu usul khas wajib disegerakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu ini dan satu jawatan kuasa khas yang turut dianggotai wakil pembangkang mesti disegerakan.
Akhirnya kebimbangan rakyat berhubung pengendalian prosedur sistem keselamatan pengawasan udara perlu dijadikan pertimbangan tambahan iaitu mengapa setelah pihak tentera mengesan berlakunya ATB oleh sebuah pesawat yang tidak di kenali, tiada tindakan susulan dibuat dengan meminta pengesahan pihak DCA berhubung status pesawat tersebut?
Meskipun ianya mungkin sebuah pesawat awam yang di bawah bidang kuasa DCA, tetapi ianya tetap suatu andaian kerana kita dimaklumkan bahawa radar primary tidak mampu mengesan jenis pesawat tersebut.
Keraguan kita adakah tiada koordiansi yang mantap antara pihak tentera dan DCA dalam memantau keselamatan pertahanan negara? Inikah yang disuarakan sedari dulu berhubung ketirisan dalam pertahanan ruang udara negara?
Semuanya mesti dirungkai segera dan ianya tidak mampu di lakukan dengan pengendalian bersendirian oleh kerajaan yang memerintah sekarang. Ianya memerlukan sokongan semua pihak termasuk dari pembangkang.
No comments:
Post a Comment