JOM TEKAN

expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday, October 14, 2010

Pintu hati dibuka Allah ......... sinar keinsafan insan glamor



“KALAU kita hebat di dunia, kalau masuk ke dalam neraka, ia tidak berbaloi,” demikian ucap pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah yang juga pemegang gelaran tokoh Maal Hijrah 1429 peringkatSelangor tatkala membahas tentang ‘Mencari Jalan Pulang.’

Tidak dinafikan, ringkas kata sosok terkenal berusia 59 tahun itu. Hakikatnya, ia mampu meninggalkan bekas di hatisesiapa sahaja mendengar. Topik yang dikupas, sedikit sebanyak berupaya mengingatkan orang lain supaya mengimbangi kehidupan di dunia dan akhirat.

Cuma satu pesannya: “Sekali kita sudah bertaubat dan tidak mengulangi dosa silam, jangan pula kita menghina orang lain. Selami dengan sebetulnya jiwa sendiri agar dapat mencari jalan pulang yang diredhai oleh AllahTaala. Itu lebih indah daripada segala-galanya.”

Tidak sekadar menitipkan kata-kata hikmat itu kepada dua individu berada di depannya - Datuk Malek Nor dan Amy Search, Fadzilah juga sempat mengisyarat luahan tersebut kepada seluruh umat Islam terutama yang mendapat petunjuk untuk pulang semula kepada-Nya.Bertempat di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu, Fadzilah yang diberi mandat selaku pengemudi program bual bicara, Selami Jiwa di saluran Oasis (106) mengundang Malek dan Amy sambil berkongsi segenap emosi tentang pengertian penghijrahan.

Fadzilah yang membenihkan karier sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1977 mengaku kehebatan Malek dan Amy. Masakan tidak, mereka mengamal dasar keterbukaan untuk berkongsi perjalanan hidup masing-masing yang sifatnya pernah gelap.

“Saya bangga apabila golongan selebriti terutama seperti Malek dan Amy yang sudi bercerita tentang masa silam mereka. Malah, saya dapati ada artis lain, sedikit demi sedikit mula ada keberanian menyuarakan isi hati sendiri dengan tujuan menjadikan ia sebagai pengajaran.

PROGRAM temu bual terbaru kelolaan Dr. Fadzilah Kamsah ini mempunyai matlamat yang murnia dalam membina semula sahsiah dan jati diri umat Islam.

“Cuma nasihat saya, kita harus menyokong keputusan yang mereka lakukan. Selain itu, perubahan dalam diri perlu dikongsi dengan orang-orang tersayang. Dalam masa sama, kita kena ada guru, beli pelbagai kitab dan cari orang tertentu untuk dirujuk dari semasa ke semasa.

“Saya sendiri ada 70 nombor individu dalam telefon bimbit untuk dijadikan rujukan pada bila-bila masa jika menghadapi sebarang persoalan. Dan penting, kita kena memperbetulkan persekitaran dengan memilih kawan supaya tidak lagi mengulangi kesilapan ataupun dosa lalu."

Sementara itu, Malek dan Amy yang kelihatan khusyuk menerima segala maklumat yang disalurkan daripada Fadzilah tidak ketinggalan meluah kelainan dirasai dalam diri selepas mengambil kata putus untuk merealisasikan transisi kepada-Nya. Satu persatu dimuntahkan waima bunyinya agak personal.

Dikelar besi panas

Umum mengetahui, penama lengkap Abdul Malek Mohamad Noor atau Malek, 54, mula melewati hidup sebagai pengikut Islam sejati sejak lapan tahun lepas.

Selepas satu demi satu musibah melanda, gerak hatinya berbisik, itu barangkali ujian Allah agar kembali menjadi sebenar Muslim.Ironinya, selepas tergelincir jauh dari landasan dan tidak mempedulikan Allah sewaktu berada di tengah kota Hong Kong dan Amerika Syarikat awal 90-an, tahun 2002 menjadi saksi apabila jiwa semakin menua itu acapkali tidak tenang biar hidup berbalut kemewahan duniawi.

Didatangi pelbagai mimpi ngeri hampir setiap malam Jumaat termasuk dibakar api neraka, tubuhnya dikelar dengan besi panas, kemuncak Malek mengubah diri saat laungan azan Maghrib berkumandang di balkoni kediamannya yang menghadap Menara Berkembar Petronas.

AMY dan Malek Noor merupakan dua ikon yang meraih populariti dan menjadi pujaan dalam bidang glamor masing-masing.

Masa terus berlalu. Saat anak jati Batu Pahat, Johor itu kini menyerahkan seluruh hidupnya kepada Yang Maha Kuasa, dia mengalami mimpi didatangi arwah ibu, Jairiah Alias menaburkan bunga emas kepadanya dan memimpin ke Masjidil Haram lalu bersujud di depan Kaabah.

Sambil air mata jantannya gugur, ujar Malek, mimpi dialami ini cukup indah sekali gus menyedarkan diri bahawa ibu dan ayahnya yang telah meninggal dunia sentiasa ‘mendoakan’ si anak dari alam kubur. Lantaran itu, tidak hairan apabila kalimat syukur sentiasa terpacul dari bibirnya.

“Saya percaya, doa ibu dari alam barzakh meniupkan semangat ini untuk mendekatkan diri kepada Allah. Diakui, mengambil keputusan untuk bertaubat susah dan ia tidak punya persediaan. Kerana itu, sekali kita ingin kembali kepada Tuhan, kita nekad insaf selama-lamanya.

“Kini, saya puas dengan kehidupan baru. Meski hidup bersendirian selepas dua kali mengalami penceraian, saya mahu bercinta sepenuhnya dengan Allah. Apa jua dilakukan termasuk makan, tidur, memandu, bekerja, keluar rumah dan lain-lain, semua bersama dengan-Nya.

“Sejujurnya, saya tidak minta orang lain bertaubat dan mengikut seperti apa dilakukan ini. Tetapi, tugas saya hanya mahu membuka pintu sedikit kepada orang lain untuk melihat dunia dan akhirat,” tutur Malek yang enggan lagi berhambakan wang ringgit dan material.

Kelahiran semula

Berbeza pengalaman daripada Malek, vokalis kumpulan rock tersohor Search, Amy, awal-awal lagi merasai kelainan dalam diri selepas bergelut dalam belantika muzik tanah air sejak tiga dekad lalu. Pelbagai persoalan melintang di kotak fikirnya tanpa mampu ditolak.

Jelas pemilik nama berdaftar Suhaimi Abdul Rahman, sepanjang bergelar penyanyi dan tingginya populariti diraih, setiap malam sebelum matanya dapat lelap dengan sempurna, dia sering tertanya kepada diri tentang penamat kepada jalan yang diinginkan dalam hidup.

“Hati saya meronta ingin kelahiran semula dan hidup hakiki yang dicintai. Bayangkan, apa jua diminta, Dia beri kepada saya. Situasi ini berlarutan dan saya akui memang tidak mendapat kebahagiaan. Melalui satu proses penceraian dan berlaku lagi dalam rumah tangga.

“Tidak terkecuali, saya mengidam untuk ada anak lelaki dalam hidup. Dalam pada itu, saya bertemu wanita yang kini menjadi isteri. Enggan ambil waktu panjang, saya terus bernikah. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, kami dikurniakan dengan cahaya mata lelaki.

“Kemuncaknya, saya menunaikan umrah buat kali pertama pada tahun 2007 sambil depan Kaabah terfikir kenapa Dia menganugerahkan bakat seni ini. Akhirnya, saya sedar, suara ini sebagai tanggungjawab kepada orang lain,” ucap Amy dengan getar suara perlahan.

Usai pulang dari Tanah Suci, pelantun lagu Isabella itu terdorong untuk menjalani penghijrahan. Tambah lelaki berusia 52 tahun itu, dia seperti menjalani fasa penyucian di rumah Allah sehinggakan menikmati perasaan sukar terucap dengan kata biasa.

“Rupa-rupanya, setelah diimbas kembali, lagu-lagu saya nyanyikan selama ini ada maksud mendalam. Malah, Dia menguji saya dengan ujian yang tidak terpandang termasuk pernah ditipu wang ringgit sehingga menangisi insiden berlaku akibat terlampau kecewa.

“Saya bagaimanapun bersyukur kerana selepas tiga tahun lalu, akhirnya saya mula nampak apa yang diingini dalam hidup. Kalau ada duit banyak sekalipun, ia tetap tidak beri kebahagiaan sebenar. Jiwa kita yang seharusnya ada cinta kepada Dia,” luah Amy.

1 comment:

  1. tabik sungguh dgn dato dr fadilah...ayat bersahaja mendalam maknanya

    ReplyDelete

LinkWithin