JOM TEKAN

expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, October 11, 2010

Juri berat sebelah

KELEBIHAN status pemenang pingat perak Sukan Olimpik dilihat membantu pasangan Australia, Melissa Wu dan Alexandra Croak muncul juara 10m platform berpasangan di Kompleks Akuatik Dr S P M, semalam.



Pasangan negara, Lee Mun Yee dan Pandelela Rinong yang memenangi pingat perak menganggap juri lebih pemurah memberikan markah kepada pasangan Australia itu.


“Pemberian markah agak berat sebelah. Meskipun terjunan yang dilakukan Melissa dan Alexandra tidak bagus, mereka tetap mendapat markah yang tinggi mungkin kerana berada di sini atas status pemenang pingat perak Olimpik,” kata Mun Yee.


Mun Yee dan Pandelela memenangi pingat perak selepas mengumpul 328.38 mata manakala Melissa dan Alexandra mencatatkan 335.76 mata.Pasangan kedua Australia, Briony Cole dan Anabelle Smith menang pingat gangsa dengan catatan 325 mata.


Paling ketara apabila terjunan pertama dan kedua pasangan juara itu yang tidak selari tetap diberi markah tinggi dengan purata 8.5 dan 9 markah oleh juri ketika pasangan lain hanya diberi hingga 8.5 mata andai tidak selari terjun ke dalam air.


Bagaimanapun, pasangan negara terpaksa menanti hingga terjunan terakhir, terjunan sempurna yang mencatatkan markah tertinggi acara itu, 82.56 mata untuk mengesahkan pingat perak. Pandelela turut bersetuju dengan pandangan rakannya itu tapi gembira kerana misi mereka memenangi pingat dalam acara itu berjaya direalisasi.


“Kini kami perlu menumpukan perhatian untuk acara individu tapi tiada sasaran ditetapkan,” katanya.


Satu lagi pasangan negara, Cheong Jun Hoong, 20, dan Traisy Vivien Tukiet, 16, menamatkan saingan di tempat kelima dengan 316.38.


Agak membanggakan kerana pasangan muda negara ini mempamerkan kematangan dan menduduki tempat kedua sebelum terjunan terakhir. Namun, kesilapan pada terjunan menyebabkan mereka terpaksa akur keputusan akhir itu.


“Kami sudah mencuba yang terbaik tapi malangnya melakukan kesilapan pada saat akhir. Apapun kami gembira kerana sekurang-kurangnya menyaingi antara pasangan terbaik dunia di temasya ini,” kata Traisy.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin